Max Verstappen berang sambil menyifatkan tindakan Lewis Hamilton sebagai "bodoh dan bongok", malah dia sempat memberi isyarat lucah kepada pencabar gelaran itu dalam sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS).

Perebutan kejuaraan Formula Satu (F1) semakin sengit apabila kedua-dua pemandu itu hampir bertembung dalam dalam latihan bebas kedua (FP2) di Litar Amerika, awal pagi tadi.

Pendahulu kejuaraan dari Belanda itu merungut di radio pasukannya selepas kenderaan mereka hampir berlaga dengan Hamilton, berkata: "Ha! Bodoh bongok!" bagi menggambarkan perasaannya terhadap tindakan pemandu Mercedes tersebut.

Seorang jurutera Red Bull kemudian memberitahu Verstappen supaya mengabaikan insiden itu berikutan Hamilton mengalami hari yang mengecewakan apabila terperangkap dalam kesesakan dalam permulaan pertengahan sesi berkenaan.




Dia hanya mampu menamatkan sesi latihan bebas itu di tempat kelapan yang menyaksikan Sergio Perez mendahului sementara Hamilton di tempat ketiga di belakang Lando Norris.

Secara dasarnya, Valtteri Bottas mengungguli catatan masa dalam sesi pertama tetapi dikenakan penalti sebanyak lima petak dalam perlumbaan di Austin itu berikutan pemasangan enjin keenam musim ini -- hanya tiga dibenarkan -- selain menggunakan ekzos keenam.

Prinsipal Silver Arrows, Toto Wolff, tidak menolak bahawa Hamilton -- yang terpisah enam mata dengan Verstappen dalam perebutan gelaran pemandu -- mungkin sekali lagi berdepan penalti musim ini.

Menurutnya: "Saya tidak boleh mengatakan sama ada kami akan memakai enjin baru atau sejauh mana peratusannya, tetapi risikonya jelas masih ada."