Bekas perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock, sedia menghulurkan talian hayat buat pemain negara, Cheam June Wei, yang memutuskan untuk menamatkan jodoh bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Isnin lalu.

Pemain yang menghuni ranking ke-70 dunia itu masih mencari arah untuk meneruskan karier sebagai pemain profesional.

June Wei menggemparkan arena badminton tempatan apabila bertekad meninggalkan BAM.

Sebelum itu, June Wei diarah pulang dari Jelajah Eropah selepas mempamerkan prestasi mengecewakan dalam Terbuka Czech dan Terbuka Belgium, namun tiada pengesahan daripada pemain itu secara peribadi yang menjadi puncanya mengundurkan diri.

Ewe Hock, yang juga pengendali Kelab Badminton Serdang, melihat potensi yang terdapat dalam diri pemain itu, justeru sedia memberi tempat buatnya yang masih memasang impian untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Terpulang kepadanya. Saya sebagai bekas pemain dan pemilik pusat latihan, saya sedia tolongnya atau sekadar menjadi tempat rujukan sekalipun.

"Saya harap dia tidak menggantung raket sebab umurnya baru 24 tahun," katanya.




Ewe Hock pernah menghulurkan bantuan buat perseorangan wanita, Soniia Cheah, yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai lalu, selepas pemain itu turut berpisah dengan BAM.

"Ada sesetengah pemain tidak mahu buka mulut punca sebenar mereka meninggalkan BAM.

"Gon Jin Wei misalnya, dia beritahu ia berkaitan isu kesihatan tapi saya tidak nampak ia sebagai alasan utama."