Billy Gilmour terlepas pertembungan getir Euro 2020 ketika Scotland berdepan Croatia setelah dijangkiti COVID-19.

Pemain tengah Chelsea itu perlu menjalani kuarantin selama 10 hari, khidmatnya secara tidak langsung perlu dilupakan dalam misi wajib menang Kumpulan D itu, pada awal pagi Rabu ini, bagi kemaraan ke pusingan 16.

Satu kenyataan pendek daripada Persatuan Bola Sepak Scotland berbunyi: "FA Scotland mengesahkan seorang anggota skuad pasukan kebangsaan Scotland, Billy Gilmour, terbukti positif COVID-19.





"Atas saranan pihak Kesihatan England sebaik ujian positif dikesan, Billy perlu mengasingkan diri selama 10 hari.

"Oleh itu dia akan terlepas perlawanan Kumpulan D UEFA EURO 2020 menentang Croatia di Hampden."

Ia satu tamparan hebat buat Scotland memandangkan Gilmour baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik untuk penampilannya ketika seri tanpa gol dengan England di Wembley.

Pemain berusia 20 tahun itu mengetuai Scotland dengan hantaran (44), hantaran lengkap (40) dan hantaran di kawasan lawan (24) selain memenangi semula bola sebanyak lapan kali -- paling banyak berbanding pemain lain.

Scotland mengakhiri perlawanan itu dengan lebih banyak percubaan iaitu 11-9 dan dua kali menemui sasaran tepat berbanding satu oleh seteru jiran berkenaan walaupun tuan rumah menguasai perlawanan.

Anak buah Steve Clarke itu perlu menang di Hampden Park selepas masing-masing mengumpul satu mata selepas dua perlawanan.

England dan Republik Czech -- yang akan berentap di Stadium Wembley pula -- menguasai puncak dengan empat mata.