Selepas beberapa kali keluar masuk daripada program kebangsaan, Toh Ee Wei, memberi bayangan jodohnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berupaya kekal.

Ini susulan kejayaan dia dan Choong Hon Jian memenangi gelaran ketiga mereka musim ini dalam acara beregu campuran dengan terkini dalam Terbuka Austria semalam.

Ee Wei mula mencipta nama dalam saingan beregu wanita bersama Pearly Tan ketika mewakili skuad remaja negara 2016.

Tetapi masalah kesihatan membelenggu Ee Wei sehinggalah dia diserap masuk ke skuad beregu campuran dibawah ketua jurulatih Paulus Firman Februari lalu.

Di Austria, Ee Wei dan Hon Jian menidakkan pilihan kelima dari Perancis, William Villeger-Sharone Bauer, dalam aksi tiga set 16-21, 21-9, 21-19.

Dua gelaran terdahulu Ee Wei-Hon Jian adalah Terbuka Poland dan Kejohanan Antarabangsa Slovenia.

"Saya sangat gembira kerana berjaya menghasilkan keputusan positif," kata Ee Wei.

"Permainan kami cuba menghasilkan lebih baik dan lebih baik. Saya sentiasa bercakap dengan Hon Jian untuk terus positif dan berusaha bagi menghadapi kejohanan akan datang."