Dua wakil negara dalam final Terbuka New Zealand

Penulis Jemputan
Ogos 5, 2017 11:12 MYT
Dua wakil negara dalam Grand Prix (GP) Terbuka New Zealand, beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, serta beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, meneruskan rentak cemerlang dengan mengesahkan slot ke final, esok.
Diletak selaku pilihan utama, Vivian-Khe Wei tidak sesekali memandang rendah cabaran lawan kurang ternama, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia.
Ketinggalan pada awal permainan boleh dikatakan sebagai taktik Vivian-Khe Wei untuk memahami corak permainan lawan yang baru kali pertama dihadapi.
Hasilnya, wakil negara itu menang 21-18.
Bagaimanapun, Greysia-Apriyani mempamerkan belang dalam set kedua dan mereka mengekalkan kutipan maksimum lima mata berturut-turut untuk mengimbangi kedudukan hasil kemenangan 21-13.
Namun, pasangan beregu wanita negara berjaya mengubah momentum dalam set penentuan untuk menang 21-13, lalu mengesahkan kemaraan ke final selepas berjuang selama sejam 21 minit itu.
Kejayaan Vivian-Khe Wei itu menyuntik semangat beregu lelaki negara, Ee Yi-Yew Sin, yang turun menentang pasangan dari China, He Jiting-Tan Qiang, dalam separuh akhir.
Ini pertemuan sulung kedua-dua pasangan dan kelebihan memihak kepada beregu lelaki negara yang tampil selaku pilihan kedua kejohanan.
Ee Yi-Yew Sin nyata tidak menghampakan apabila berjaya memastikan kemenangan dalam set pertama, 21-19.
Rentak cemerlang itu diteruskan Ee Yi-Yew Sin yang langsung tidak memberi ruang buat lawan mempamerkan kebangkitan dalam set kedua untuk menamatkan perlawanan 21-11 dalam tempoh hanya 29 minit untuk mengesahkan slot ke final.
Mereka bakal berdepan pilihan pertama dari Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi-lin, manakala Vivian-Khe Wei berdepan beregu dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.