Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan dua beregu profesional utama negara akan mendapat segala kemudahan bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kecuali elaun seperti yang diterima atlet Sistem Tier.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

MSN tetap mengutamakan kebajikan bekas beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, walaupun mereka menarik diri daripada BAM.

Mereka akan diberikan bantuan secukupnya seperti kemudahan latihan di MSN dan aspek perubatan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Bagaimanapun, mereka tidak tersenarai dalam Sistem Tier yang membabitkan 19 pemain badminton lain.

"Mereka mempunyai kelab masing-masing.

"Selaras dengan matlamat kami untuk menggalakkan penglibatan kelab-kelab tempatan dalam perkembangan pemain, kami akan berurusan dengan kelab-kelab itu bagi mengenal pasti keperluan-keperluan mereka," katanya.

Sistem Tier diwujudkan dengan misi utama membantu atlet negara meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, BAM tiada perancangan untuk menghantar jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menyertai sebarang aksi kompetitif sebelum Kejohanan Seluruh England, Mac depan.

Ia bertujuan bagi memperbaiki ranking dunia pemain itu.

Ketika ini, Chong Wei menghuni ranking ke-28 dunia.

"Kemunculan semulanya sudah cukup untuk menggembirakan semua pihak.

"Namun, kami tidak perlu memaksanya, sebaliknya memberikannya ruang bagi menentukan perancangan terbaik bersama barisan kejurulatihannya," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.