Situasi sebenar kesihatan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sememangnya menggusarkan peminat sukan negara, namun Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi, mahu bersikap positif.

Jika hanya masalah pernafasan yang menghantui Chong Wei, tiada halangan untuk dia kembali ke arena badminton dunia, namun jika mengalami masalah yang lebih serius, ia mungkin pengakhiran buat kariernya.

Pelbagai spekulasi timbul ekoran keputusan Chong Wei menarik diri daripada dua saingan utama, iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing dan Sukan Asia Indonesia atas alasan mengalami masalah pernafasan.

Malah, wujud perkhabaran yang menjurus ke arah situasi serius hingga ada tercetus kemungkinan ia akan menjadi pengakhiran kepada karier bintang negara dan dunia itu.

Namun, Dr Khairi menegaskan jika ia hanya masalah pernafasan, tiada halangan untuk Chong Wei kembali ke kancah badminton dalam tempoh waktu yang singkat.

"Ia adalah satu isu kesihatan yang biasa dan bersifat berkala. Tetapi saya memberikan jawapan ini berdasarkan ISN masih tidak mengetahui isu kesihatan yang dimaksudkan ini," katanya.

ISN masih belum menerima bayangan terkini situasi Chong Wei, namun menegaskan ia menjadi tanggungjawab utama ISN sekiranya berkait dengan penglibatannya dalam bidang sukan yang diceburi.

"Chong Wei adalah atlet di bawah Program Podium, kebajikan serta kesihatannya masih lagi di bawah pemantauan ISN," tambahnya.