Novak Djokovic kelihatan seperti tidak akan menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Australia, Januari depan melainkan undang-undang berkenaan vaksinasi COVID-19 dilonggarkan, demikian kata bapa pemain itu, Srdjan Djokovic.

Baru-baru ini pihak penganjur kejohanan itu mengesahkan bahawa setiap peserta yang ingin mengambil bahagian hendaklah terlebih dahulu divaksin menjelang aksi pembukaan pada 17 Januari depan.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic, yang memenangi gelaran kesembilannya di Melborune tahun lalu, tidak pernah mendedahkan sama ada dia sudah mengambil suntikan itu atau tidak.

Bapanya, Srdjan, berkata kepada saluran tv Serbia, Prva, bahawa pengambilan vaksinasi adalah hak individu dan tindakan Tennis Australia meletakkan peraturan itu merupakan satu ugutan.

"Setakat apa yang sudah divaksinasi dan belum divaksinasi ketahui, ia merupakan pilihan setiap daripada kita sama ada mahu divaksin atau tidak," katanya seperti yang dipetik laman web B92.

"Tiada siapa mempunyai hak untuk campur tangan dalam hak individu kita, ia telah dijamin dalam perlembagaan. Semua orang mempunyai hak untuk menentukan kesihatan mereka.

"Sama ada (Novak) sudah divaksin atau tidak, itu adalah haknya. Sama ada dia akan mendedahkannya, saya tidak fikir begitu. Saya juga tidak tahu keputusannya dan jika saya tahu, saya tidak akan mendedahkannya kepada anda. Dia mempunyai hak untuk menentukan apa yang dia mahukan," katanya.

Ditanya sama ada Djokovic akan ke Australia atau tidak, Srdjan menambah: "Ia bergantung kepada bagaimana pihak penganjur meletakkan diri mereka.

"Dia pasti mahu melakukannya dengan sepenuh jiwa kerana dia seorang atlet. Kami juga mahukannya.

"Di bawah keadaan ugutan seperti ini, dia berkemungkinan tidak menyertainya.

"Saya tidak akan melakukannya. Dan dia anak saya, jadi anda tentukannya sendiri," katanya lagi.