Tuntutan untuk memberi fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap tidak menghalang misi pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, untuk kembali merampas gelaran juara remaja dunia dalam kejohanan yang bakal berlangsung bulan depan.

Jin Wei bakal bersaing dalam Kejohanan Remaja Dunia di Indonesia bulan depan dan pada yang sama akan menduduki SPM, bulan berikutnya.

Pemain berusia 17 tahun ini pastinya berdepan jadual padat apabila perlu membahagikan masa dengan baik kerana perlu cemerlang dalam kedua-dua senario itu.

Pastinya ia bukan lagi sesuatu yang mudah untuk bergelar juara yang pernah diraihnya pada tahun 2015 itu selepas terkandas dalam pusingan kelima tahun lalu.

"Ketika ini, saya menjalani latihan dan ketika hujung minggu saya akan menghadiri kelas tuisyen bagi mengulang kaji pelajaran.

"Keadaan saya amat berbeza berbanding sebelum ini kerana jadual saya agak ketat, terutama bagi mengimbangi jadual belajar dan latihan," jelasnya.

Jin Wei kini berada dalam landasan terbaik untuk terus memburu kejayaan selepas meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Tiada lagi kecederaan yang kembali menghantuinya selepas berhempas-pulas di gelanggang dalam temasya itu.

"Selepas Sukan SEA, saya hanya berehat selama tiga hari sebelum kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia," tambah Jin Wei.