Pandemik COVID-19 bukan sahaja meranapkan impian perseorangan badminton profesional negara, Liew Daren, untuk ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, bahkan ia turut membuatkannya semakin hampir dengan persaraan.

Pada usia yang akan menjangkau 34 tahun Ogos ini, apakah akan ada penyesalan buat Daren, yang tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sepanjang kerjayanya?

Bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, menemubual pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 itu.

Ditanya mengenai perasaannya selepas gagal ke Tokyo gara-gara pandemik sejagat itu, Daren berkata: "Saya memang sudah menjangka sejak tahun lalu kerana daripada segi ranking, saya juga sudah tertinggal jauh.

"Untuk berkata terlalu sedih tidak juga kerana prestasi saya sendiri kurang bagus, jadi ia memang sudah dijangkakan.

"(Perancangan) selepas ini, saya masih belum tahu kerana semua kejohanan sudah dibatalkan.

"Bagi saya, ia (akan beraksi) sehingga tahun depan kerana saya masih ada kontrak sehingga Mei tahun depan dan selepas itu barulah kita lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Seandainya terpaksa menggantung raket selepas Mei 2022, Daren berasakan tiada sebarang penyesalan dalam kariernya kerana yakin telah melakukan yang terbaik sepanjang bergelar pemain.

"Saya sudah mencuba yang terbaik walaupun sepanjang beberapa tahun lalu saya keseorangan ke mana-mana sahaja.

"Saya tidak ada sebarang rasa tidak puas atau apa-apa seperti itu," katanya lagi.