Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, berharap pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Dunia mampu menjadi penebus kekecewaan rakyat Malaysia terhadapnya ketika kempen Piala Thomas 2014 di New Delhi.

Skuad negara ketika itu diramalkan akan menamatkan badi 22 tahun untuk menggenggam Piala Thomas dan Daren turun sebagai perseorangan ketiga menentang Takuma Ueda tatkala Malaysia dan Jepun terikat dengan keputusan 2-2.

Namun, dia tewas 12-21, 21-18, 17-21 yang menyaksikan Malaysia terus kempunan manakala Daren disifatkan sebagai punca kegagalan kem negara pada waktu itu.

Selepas empat tahun peristiwa tersebut berlalu, Daren kini berharap pingat gangsa yang diraihnya dalam Kejohanan Dunia mampu mengubat duka rakyat Malaysia yang masih teringatkan peristiwa sedih itu.

Untuk rekod, Daren kini menjadi pemain Malaysia ketiga yang meraih pingat dalam saingan Kejohanan Dunia selepas Datuk Lee Chong Wei dan Wong Choon Hann.

"Memang saya berharap dapat menebus detik itu. Diharapkan, kejayaan ini dapat dihadiahkan untuk Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dalam pertimbangan untuk menyenaraikannya ke Sukan Asia 2018, Daren tidak menolak untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

"Setakat ini, masih belum ada sebarang perkembangan kerana Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, masih belum memberitahu sebarang perkara.

"Jika dia ada memberi sebarang perkhabaran atau tawaran, saya akan pertimbangkan," tambahnya.