Ekosistem badminton negara boleh lumpuh sekiranya sekatan berterusan untuk program di luar skuad kebangsaan ekoran COVID-19.

Saban hari lonjakan kes COVID-19, ia berlaku ketika Malaysia memiliki tugas penting dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas/Piala Uber seterusnya misi memburu gelaran juara edisi 2024.

Bekas beregu lelaki negara, Zakry Latif, dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, tidak menolak sekiranya kekangan untuk menjalani latihan berterusan, pemain profesional makin terhimpit untuk mengekalkan prestasi terbaik.

"Bola sepak sudah boleh bermain padahal ia melibatkan fizikal, dan yang terbaru mereka minta penyokong dibolehkan masuk ke stadium.

"Tapi badminton masih belum boleh main, gelanggang tidak boleh dibuka sedangkan kedai sukan pun sudah pun dibenarkan beroperasi.

"Pemain profesional tidak mempunyai tempat berlatih kerana mereka berlatih di luar, berbeza dengan pemain di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang berlatih dalam gelembung sukan.

"Agak susah untuk pemain profesional berlatih, memang tiada langsung (aktiviti) walaupun banyak kejohanan akan dianjurkan bermula bulan depan.

"Macam mana mereka mahu kekalkan pukulan dan rentak permainan walaupun daripada segi kecergasan memang tiada masalah," katanya.