Kento Momota mengakui bahawa dia kecewa dengan penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan pandemik koronavirus selepas dia bangkit daripada kemalangan jalan raya di Malaysia awal tahun ini.

Pemain badminton nombor satu dunia itu menghadapi kemalangan ngeri sehingga perlu menjalani pembedahan susulan keretakan soket mata selepas mengadu mengalami masalah penglihatan pada Februari lalu.

Momota pulih daripada pembedahan itu dan bersedia untuk meneruskan latihan penuhnya menjelang Sukan Olimpik Tokyo, yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini, namun ia ditunda selama setahun berikutan pendemik berkenaan.

"Saya hanya mempunyai enam bulan selepas pembedahan. Saya tiada masa untuk berehat. Saya mencuba segala-galanya (dalam latihan) setiap hari.

"Jadi, agak sukar untuk melupakan perasaan untuk melakukan sesuatu yang lebih," katanya kepada AFP.

Walaupun perlu menunggu sedikit masa untuk kembali beraksi, juara dunia itu sudah kembali menjalani latihan penuh dan bersedia untuk meraih pingat emas dalam temasya itu tahun depan.

"Saya dapat melihat tanpa sebarang masalah dalam permainan. Saya dapat memberikan 100 peratus dalam latihan.

"Saya mahu melakukan yang terbaik setiap hari bagi mencapai sasaran meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo," tambahnya berkenaan penundaan temasya itu.

Momota masih pemain pilihan untuk memberikan Jepun pingat emas acara perseorangan lelaki pertama di tanah air mereka tahun depan.

Sebelum mengalami kemalangan ngeri itu, dia memenangi gelaran Masters Malaysia selepas meraih kemenangan straight set ke atas Viktor Axelsen pada Januari lalu.