'Mungkin perlu lupakan Sukan Olimpik 2020', itu luahan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, jika benar penundaan kejohanan ekoran wabak covid-19 berterusan sekali gus menyukarkan hasrat untuk mengumpul mata kelayakan ke Tokyo.

Ee Yi-Yew Sin membuktikan mereka masih berupaya menyumbang buat negara apabila dua kali berturut-turut mara ke suku akhir Masters Malaysia dan Indonesia selepas dilepaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

Sebelum ini, Ee Yi beranggapan masih ada ruang ke Tokyo apabila pencabar terdekat, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, terlepas beberapa kejohanan penting yang menawarkan mata kelayakan ke Tokyo.

Namun sebaliknya terjadi selepas beberapa pembatalan kejohanan akibat penularan wabak covid-19.

"Peluang ke Sukan Olimpik makin tipis jika semakin banyak kejohanan dibatalkan kerana covid-19, tetapi kami tidak akan berputus asa dan cuba melakukan yang sebaik mungkin dalam setiap kejohanan yang disertai," kata Ee Yi.

Sementara itu, Ee Yi turut menzahirkan secebis harapan untuk kejohanan Seluruh England berjalan mengikut jadual selepas kempen musim lalu menyaksikan mereka berakhir di pusingan pertama.