Penantian kem pelapis badminton negara untuk beraksi dalam kejohanan kompetitif ternyata berbaloi apabila Malaysia membawa pulang tiga pingat emas daripada Kejohanan Terbuka Poland semalam.

Bagaimanapun, kekuatan mental yang dipamerkan perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong, mendapat pujian Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, susulan menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan dari Sepanyol, Pablo Abian, dalam aksi final.

Apa yang lebih manis, ia juga merupakan kejayaan pertama pemain di ranking ke-136 dunia itu selepas kali terakhir beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada 2019.

Pemain berusia 21 tahun itu memastikan kejuaraannya selepas menewaskan Abian 21-19, 21-11 dalam masa 52 minit.

"Ia pendekatan yang amat bagus selepas sekian lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa," kata Choong Hann kepada Nadi Arena.

"Kami berharap agar setiap pemain berani mempamerkan permainan mereka sendiri dan harus menunjukkan semangat tidak putus asa tanpa mengira di peringkat mana sesuatu perlawanan itu, sama ada sedang ketinggalan atau sedang mendahului.

"Dia (Tze Yong) kelihatan mempunyai semangat yang cukup kental untuk memenangi perlawanannya.

"Terutama dalam final, dia berdepan pemain yang amat berpengalaman dan dia kelihatan mencuba sedaya upaya dan tidak mudah mengalah.

"Jadi, ia merupakan satu semangat yang tinggi dipamerkannya tetapi kami dapat lihat beberapa kelemahan dalam permainannya dan akan melakukan penambah baikan selepas ini," katanya.