Choong Hann miliki kelebihan tersendiri -- Sairul

Penulis Jemputan
Oktober 25, 2018 05:09 MYT
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob, berpandangan Wong Choong Hann mempunyai kelebihan tersendiri untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula Januari 2019.
Choong Hann adalah antara bekas pemain perseorangan negara yang seangkatan dengan Sairul pada lewat 1990-an.
Lantas, beliau sudah mengenali perwatakan Choong Hann yang pernah menjadi naib juara Kejohanan Dunia di Birmingham pada 2003.
Sairul yakin pengalaman yang dimiliki Choong Hann bakal memudahkan proses penyesuaian diri dengan corak latihan sedia ada.
"Choong Hann merupakan seorang pemain yang pantas dan memiliki pukulan yang berkualiti. Pengalamannya itu dapat diberikan kepada barisan pemain nanti," kata Sairul.
Choong Hann menjadi pilihan BAM sebagai pengarah kejurulatihan selepas meneliti beberapa calon termasuk dari luar negara.
Dengan memburu pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi sasaran utama, beliau perlu memastikan setiap jurulatih dapat bekerjasama seiringan dengannya.
Sairul percaya barisan kejurulatihan juga akan membantu Choong Hann sebaik mungkin bagi merealisasikan sasaran berkenaan.
"Kebolehan dan kelebihan beliau akan membantu barisan jurulatih BAM dan berharap dapat menghasilkan kerjasama yang baik bersama Choong Hann."