Di sebalik keterujaan melihat pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, kembali berlatih, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengesahkan jaguh negara itu tidak akan sempat beraksi dalam Kejohanan Seluruh England, Mac depan.

Saingan Seluruh England boleh diibaratkan kejohanan wajib disertai Chong Wei setiap tahun tatkala dia secara peribadi meletakkan sasaran untuk kembali beraksi di pentas itu selepas dilaporkan pulih daripada barah hidung.

Biarpun Chong Wei dilaporkan sudah mula kembali ke Akademi Badminton Malaysia semalam, masa terlalu suntuk untuk dia mempersiapkan diri, terutama beraksi dalam Seluruh England.

Chong Wei pernah merangkul gelaran dalam kejohanan itu sebanyak empat kali, sekali gus menyamai legenda kebangsaan, Datuk Eddy Choong.

"Kami tidak memiliki banyak masa untuk perkara itu dan Chong Wei juga sedar dia akan menyertai pasukan sebaik sahaja sudah benar-benar sedia. Kini, perancangannya juga bergantung kepada keadaannya, mungkin April akan kembali," kata Choong Hann.

Choong Hann menjangkakan Chong Wei memerlukan sekurang-kurangnya empat bulan untuk kembali menyesuaikan diri dan mendapatkan rentak sebelum beraksi di pentas kompetitif semula.

Dalam masa sama, BAM tidak lagi bergantung kepada Chong Wei, sebaliknya menumpukan usaha memberikan pendedahan sebanyak mungkin kepada beberapa prospek yang boleh membawa kejayaan kepada Malaysia.