Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, enggan terlalu memikirkan lawan yang bakal dihadapi menjelang majlis undian bagi Kejohanan Badminton Dunia, esok.

Senarai yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Jumaat menyaksikan Chong Wei diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang pemain Korea Selatan, Son Wan Ho, manakala seteru utama seperti Chen Long dan Lin Dan dinamakan selaku pilihan kelima dan ketujuh kejohanan.

Perkara itu menyebabkan kemungkinan besar Chong Wei akan bertemu salah seorang daripada dua pemain tersebut dalam saingan suku akhir di Glasgow, Scotland.

"Setakat ini keadaan sangat baik dan segala taktikal akan dibincangkan bersama jurulatih berdasarkan undian esok.

"Kejohanan kali ini memang mencabar tetapi apa yang penting adalah kekal fokus dan tidak memandang rendah kepada lawan," ujar Chong Wei.

Jurulatih, Datuk Misbun Sidek, percaya Chong Wei sudah bersedia menyerap segala tekanan walaupun lawan cuba memasang strategi untuk menidakkan hasratnya meraih gelaran juara dunia.

"Ini adalah misi keempat saya dan saya akan cuba yang terbaik untuk membantu Chong Wei dalam kejohanan besar.

"Saya tidaklah pandai sangat tetapi saya akan cuba," kata Misbun.