Sekalipun tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia, perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, sedia untuk kembali pada tahun hadapan bagi merampas kembali kejuaraan itu.

Menyifatkan aksi final di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching hari ini bukanlah permainan terbaiknya ekoran masalah angin yang menganggu fokusnya, Chong Wei tetap akur dengan kekalahan terhadap Lin Dan.

Secara keseluruhan, dia berpuas hati dengan prestasi sepanjang kejohanan itu selepas berehat dalam Terbuka India minggu lalu kerana belum pulih daripada kecederaan lutut kiri.

Misinya kini adalah mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, 25 April depan.

"Saya akan cuba lagi," katanya. "Walaupun sudah memasuki final, mungkin kurang satu langkah untuk meriah kejuaraan ke-12.

"Bagi saya OK, saya berpuas hati dengan persembahan saya untuk kekal beraksi dalam final."

Chong Wei mengalami kekalahan 19-21, 14-21 kepada Lin Dan dalam tempoh 55 minit.

Sementara itu, Lin Dan menganggap ini adalah satu kejuaraan yang bermakna sepanjang kariernya bergelar pemain badminton.

Walaupun sudah memenangi pelbagai gelaran dunia, ini adalah kali pertama jaguh China itu menjuarai Terbuka Malaysia.

Ia juga pengubat kekecewaan selepas tumpas kepada Chong Wei ketika aksi separuh akhir Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

"Sebenarnya, saya mempunyai dua misi apabila hadir ke sini -- mengutip mata untuk ranking Kejohanan Dunia dan memecahkan mitos bahawa saya tidak mampu menang kejohanan di Asia Tenggara.

"Saya mahu mengingatkan sebenarnya saya pernah menang, iaitu Kejohanan Dunia 2007 di Kuala Lumpur, bagaimanapun saya tetap gembira dengan kemenangan hari ini."


Keputusan perlawanan akhir

Beregu campuran:

Zheng Siwei-Chen Qingchen (CHN) mn Huang Yaqiong-Lu Kai (CHN), 21-15, 21-18.

Perseorangan wanita:

Tai Tzu Ying (TPE) mn Carolina Marin (ESP), 23-25, 22-20, 21-13.

Perseorangan lelaki:

Lin Dan (CHN) mn Lee Chong Wei (MAS), 21-19, 21-14.

Beregu Wanita:

Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (IND) mn Fu Haifeng-Zheng Siwei (CHN), 21-14, 14-21, 21-12.

Beregu Lelaki:

Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) mn Huang Yaqiong-Tang Jinhua (CHN), 21-17, 18-21, 21-12.