Malaysia masih tertanya-tanya situasi sebenar kesihatan Datuk Lee Chong Wei, namun terdapat bayangan bahawa pemain perseorangan negara itu berkemungkinan besar memerlukan rehat yang lebih panjang.

Minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Chong Wei terlepas Kejohanan Badminton Dunia 2018 di Nanjing, China dan Sukan Asia Indonesia kerana mengalami gangguan berkaitan pernafasan.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, berkongsi pengalaman mengenai keadaan Chong Wei sewaktu saingan Terbuka Indonesia.

"Ketika aksi separuh akhir Terbuka Indonesia, Chong Wei telah memberitahu kepada saya mengenai keadaan dirinya," kata Hendrawan.

"Saya telah memberitahu kepadanya untuk menarik diri daripada perlawanan ini tetapi dia masih mahu mencuba beraksi terlebih dahulu.

"Sebagai jurulatih, saya tidak pernah melihat Chong Wei yang lemah daripada segi tenaga dan kurang pantas.

"Selepas tamat kejohanan, Chong Wei meminta untuk berehat selama seminggu dan saya membenarkannya kerana mungkin dia terlalu letih. Seminggu sudah berlalu dan Chong Wei belum kembali ke sesi latihan."