Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berharap agar momentum aksinya dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dapat diteruskan bagi menghadapi dua kejohanan selepas ini.

Chong Wei meraih pingat emas perseorangan ketiga di pentas Komanwel selepas menewaskan pemain India, K. Srikanth, dalam aksi final.

Kejayaan itu mengubati kekecewaannya setelah skuad berpasukan campuran negara gagal mempertahankan emas, apatah lagi Chong Wei turut tewas kepada lawan yang sama ketika itu.

Kini, tumpuan pemain nombor satu negara itu terarah kepada Kejohanan Asia (BAC) yang akan berlangsung di Wuhan, China bermula 24 April ini, sebelum mengetuai cabaran Malaysia dalam pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pertengahan bulan depan.

"Saya memandang ke masa hadapan kerana tahun ini banyak kejohanan.

"Saya akan menjalani latihan selama beberapa hari di Malaysia sebelum menyertai BAC di Wuhan. Kemudian, saya akan menjalani latihan paling mininum dua minggu untuk Piala Thomas.

"Tahun ini agak sibuk dan saya harap yang terbaik dalam kejohanan utama.

"Kita tidak boleh anggap dalam semua kejohanan saya boleh menang. Saya harap boleh berikan yang terbaik dan bebas daripada kecederaan," katanya.

Sementara itu, Chong Wei percaya barisan perseorangan negara ketika ini dapat membawa harapan tinggi untuk meraih mata dalam saingan Piala Thomas nanti.

Selain Chong Wei dan Lee Zii Jia yang diletakkan sebagai perseorangan pertama dan kedua, slot bagi perseorangan ketiga hampir pasti menjadi milik Iskandar Zulkarnain Zainuddin manakala pemain muda, Leong Jun Hao, menjadi taruhan terbaik untuk mengisi kedudukan pemain simpanan.

"Kita boleh mengagak siapa calon dalam kalangan tiga pemain perseorangan lelaki, cuma pemain simpanan belum dapat dipastikan lagi.

"Sebagai pemain senior dalam pasukan, saya menekankan semangat berpasukan. Sebelum menghadapi kejohanan, kami akan menjalani kem bina semangat dan berpeluang berlatih bersama-sama.

"Diharapkan selepas kembali daripada BAC, kami dapat tingkatkan semangat berpasukan kerana ini bukannya kejohanan individu," ujarnya.