Walaupun terlepas peluang berharga, bekas jaguh siri super, Datuk Lee Chong Wei, tidak mahu membebani fikiran pemain negara terutama perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, yang terkandas di peringkat suku akhir sambil mengingatkan kem negara agar menukar pendekatan agar mereka lebih berpeluang cerah merangkul kejuaraan.

Seteru dari Singapura, Loh Kean Yean, mencipta sensasi apabila dijulang sebagai juara dunia selepas menewaskan S. Kidambi, kelmarin.

Zii Jia menarik diri berikutan tapak kakinya yang melecet teruk sejak pusingan terdahulu lagi sebelum memutuskan tidak meneruskan permainan dalam set ketiga ketika bertemu Anders Antonsen dari Denmark.

Ia kejohanan kesembilannya, bermula kempen dalam Piala Sudirman sebelum menyertai beberapa kejohanan lagi di Eropah disusuli saingan di Indonesia.

Pemain kemudian berpatah semula ke Eropah untuk menutup kempen tahun ini menerusi Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol.

"Peluang dalam perseorangan lelaki kali ini memang tinggi kerana ketiadaan pemain handalan dunia seperti Kento Momota.

"Dengan jadual padat, Malaysia memerlukan tuah juga. Saya harap ia menyebelahi mereka sambil Malaysia perlu menukar cara.

"Pemain Malaysia ada kemampuan tetapi nasib Zii Jia tidak bagus kerana menghadapi kecederaan, dan saya tidak pasti situasi sebenar yang dihadapi (beregu lelaki) Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tersingkir walaupun sudah memberi tentangan hebat," katanya.






Seperti ketua jurulatih kebangsaan, Hendrawan, yang menyifatkan ia sebagai proses kematangan anak buahnya, Chong Wei berharap pemain Kedah itu tidak terbawa-bawa dengan kekecewaannya apabila kelihatan sebak dan hilang kata-kata dalam sidang media sejurus tersingkir daripada Kejohanan Dunia, sebaliknya dia perlu segera mengutip pengalaman perit ini untuk menjadi atlet yang lebih gemilang pada masa akan datang, lebih-lebih dalam situasi tidak menentu dunia akibat penularan COVID-19.

"Kean Yean juga menyertai kejohanan berturut-turut, jadi alasan keletihan termasuk mental tidak boleh diberikan. Walaupun Kean Yean lebih segar kerana tidak mengikuti Piala Sudirman dan Piala Thomas, pemain lain juga menyertai banyak kejohanan seperti Zii Jia malah lebih kerap terbabit dalam pertarungan.

"Zii Jia perlu asah kekuatan mentalnya selain ini juga peluang buatnya belajar daripada kesilapan.

"Perjalanannya masih jauh.

"Selepas memenangi Seluruh England, persembahannya masih tidak menentu. Usah bandingkan dia dengan pencapaian saya kerana ketika sebaya dengannya pada usia 24 tahun, permainan saya juga di tahap sepertinya.

"Saya tidak pernah mengharungi jadual padat sepertinya, saya tengok sahaja pun sudah penat.

"Tiga bulan beraksi di luar negara sangat mencabar, paling lama pun saya berada di luar adalah selama tiga minggu. Jadi aspek mental dan ia amat penting.

"Lagipun ini tempoh luar biasa kerana COVID-19. Mereka berdepan banyak kekangan termasuk kuarantin hingga tidak dapat berlatih.

"Ini proses pembelajaran buat pemain-pemain, pengalaman ini tidak boleh dijual beli."