Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berharap akan ada pemain Malaysia yang mampu meleburkan rekodnya selaku pemain paling lama menghuni kedudukan ranking nombor satu dunia.

Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu mendapat pengiktirafan dalam The Brandlaureate Book of World Records di atas pencapaian cemerlangnya muncul satu-satunya pemain badminton yang menduduki ranking nombor satu dunia selama 348 minggu atau enam tahun dan lapan bulan.

Chong Wei juga pernah berada di takhta teratas dunia dalam acara perseorangan lelaki selama 199 minggu berturut-turut selain memenangi 69 kejuaraan individu.

“Terima kasih The Brandlaureate Book of World Records. Anugerah ini sangat bermakna kepada saya. Saya amat berharap pemain yang bakal pecahkan rekod saya ini nanti pun anak Malaysia, yang lagi ‘terror’ (hebat), lagi mantap, mungkin lagi ‘handsome’,” katanya dalam entri terkini yang dimuat naik di akaun Instagramnya hari ini.

Chong Wei, 37, yang mengumumkan persaraannya pada 13 Jun lalu, menerima anugerah itu dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, Khamis lalu.

-- BERNAMA