Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berdepan cabaran unik menerusi perubahan format servis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam Kejohanan Badmonton Seluruh England, bermula Rabu ini.

Perubahan yang diterapkan BWF itu memerlukan posisi bulu tangkis berada pada kedudukan 1.15 meter daripada permukaan gelanggang.

Bagaimananpun, ia sudah mencetuskan kontroversi dalam Terbuka Jerman yang sedang berlangsung dan dijangka berterusan dalam Seluruh England nanti.

Sehubungan itu, Chong Wei berpandangan perubahan seperti itu tidak seharusnya diuji dalam saingan elit seperti Seluruh England, malah jaguh itu sukar memahami apa yang cuba dicapai badan badminton dunia itu.

"Saya tidak pernah bermain dengan servis baru. Setakat ini, kita tengok di Jerman, ada pemain membuat aduan mengenai perkara ini.

"Saya tidak tahu sejauh mana tetapi kita akan tengok dalam Seluruh England. Kejohanan ini sangat penting, kami perlu berhati-hati," katanya.

Bagaimananpun, Chong Wei akur apa sahaja halangan perlu diatasi dalam usaha merampas gelaran kelima Seluruh England untuk menjadikan dia sebagai pemegang rekod dalam kategori perseorangan lelaki buat Malaysia.

"Untuk umur saya sekarang, 36, kalau menang ia lebih bagus. Saya sudah menang empat kali dan saya berharap dapat memecahkan rekod pemenang terbanyak," tambahnya.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, dengan ketinggian 1.86 meter terbukti bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu, sama ada servisnya tersangkut di jaring atau berdepan risiko servis dipersalahkan.

"Saya sudah buat ujian tadi. Memang susah untuk pemain tinggi seperti saya ataupun (Viktor) Axelsen. Tidak perlu cakap lagi, pemain Denmark itu lagi tinggi.

"Memang tidak selesa kerana raket perlu berada di bawah sedikit. Dulu mungkin servis boleh tajam tetapi sekarang tidak lagi. Kelebihan kepada pemain yang lebih rendah," kata Zii Jia mengulas perubahan format itu.

Eksperimen BWF dalam Terbuka Jerman membangkitkan kritikan lantang daripada pemain senior seperti ikon badminton China, Lin Dan.

Tidak terkecuali pemain Eropah seperti Axelsen yang berasakan pendekatan BWF itu akan memusnahkan kelangsungan aksi badminton sedia ada jika ia terus dilaksanakan.