Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan China bakal menganjurkan kejohanan badminton pertamanya sejak 2019 apabila dipilih sebagai tuan rumah kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF yang bermula 14 hingga 18 Disember ini.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund, dalam satu kenyataan semalam menyifatkan perkembangan itu sebagai satu petanda baik buat atlet elit badminton dunia beraksi semula di gelanggang negara tembok besar tersebut.

“Seperti diketahui, badminton jelajah dunia akhir ini merupakan salah satu kejohanan yang lumayan buat pemain-pemain dan kami teruja untuk membawanya kembali ke Guangzhou.

"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan China kerana sudi untuk menghulurkan jemputan kepada pemain badminton terkemuka dunia.


"Malah kami juga yakin bahawa tuan rumah mampu untuk menganjurkan kejohanan itu dengan baik dengan standard keselamatan dan keselesaan pemain tertinggi,” katanya.




Dalam kenyataan sama, Lund turut mengumumkan pembatalan kejohanan Fuzhou Terbuka China dan Terbuka China sekali gus menyaksikan pemain-pemain badminton perlu mengumpul mata dalam kejohanan di Eropah bagi melayakkan diri ke pusingan akhir jelajah dunia final BWF.

“Di sebalik pengumuman tersebut, Malangnya kami tidak mungkin untuk meneruskan rancangan untuk mengadakan dua kejohanan di Changzhou dan Fuzhou.

“Ia merupakan tahun yang penting untuk badminton dan kami amat berbangga kerana kami menjalankan semua kejohanan yang dirancang seperti yang ditetapkan," ujarnya.

Kredit: Sinar Harian