Perseorangan lelaki, Lim Chi Wing, berkata persaingan dalam kem kebangsaan tetap sengit dalam ketiadaan Datuk Lee Chong Wei.

Juara kebangsaan dua kali itu akur tercabar melihat prestasi rakan-rakannya yang lain di bawah bimbingan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek.

Selain Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei dan terkini, Soong Joo Ven, yang layak ke suku akhir Terbuka Australia, sedang memimpin perkembangan positif skuad berkenaan.

Persaingan antara mereka tidak terhad kepada penampilan dalam kejohanan kompetitif, malah dalam latihan harian.

"Pemain muda sedang mempamerkan peningkatan dan saya percaya hasilnya akan dibuktikan pada masa depan.

"Pemain memerlukan sedikit masa dan kesemua pemain perseorangan mempunyai potensi untuk mencapai peringkat tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Chi Wing menerima hakikat bahawa dia sedikit ketinggalan dalam merapatkan jurang dengan tiga pemain itu.

Berada di ranking ke-157 dunia, situasi itu membataskan penyertaannya dalam kejohanan terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Saya tidak menghadapi sebarang kecederaan.

"Tetapi aksi saya terhad berikutan tiada pertandingan bertaraf Siri dan Cabaran Antarabangsa yang dilangsungkan pada April dan bulan lalu," ujarnya.