Ketua jurulatih skuad badminton beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, menafikan eksperimen menukar setiap pasangan dalam Kejohanan Kebangsaan memakan diri selepas anak buahnya gagal menepati sasaran muncul juara apabila disekat pasangan profesional, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Antara pertukaran drastik yang dilakukannya adalah memisahkan juara bertahan, Goh Soon Huat-Shevon Lai dengan pasangan muda, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei serta dua lagi pasangan, iaitu Tan Kian Meng yang bergandingan dengan Cheah Yee See sementara Lai Pei Jing bersama Chen Tang Jie.

Walaupun percaturan itu gagal membuahkan kejayaan melihat mereka bergelar juara kebangsaan setelah Shevon dan Pang Ron ditewaskan Peng Soon dan Liu Ying di pentas final, Cheh Chang melabelkan ia satu perkembangan yang baik memandangkan ada antara pasangan muda itu akan menggalas cabaran negara dalam Piala Tong Yun Kai, 19 Mac ini.

"Apa kebaikan apabila pemain muda dan senior bergabung adalah pemain muda akan meraih keberanian untuk melakukan sesuatu. Jika berlatih bagus tetapi takut beraksi dalam kejohanan, kadangkala anda tidak boleh lepas," katanya.

Bagi Peng Soon dan Liu Ying, mereka akhirnya mengulangi kejayaan lapan tahun lalu untuk sekali lagi bergelar juara kebangsaan, sekali gus meraih motivasi yang cukup baik apabila bakal menyertai Terbuka Jerman dan seterusnya ke Birmingham bagi saingan Seluruh England.

"Saya rasa kami lihat ia sebagai pemanas badan. Keyakinan masih baik walaupun boleh lihat kami tidak beraksi dengan baik," ujar Liu Ying.