Kemerosotan prestasi skuad badminton beregu campuran negara menyaksikan Pang Cheh Chang kini diberi mandat untuk mengembalikan kestabilan dan seterusnya memastikan gandingan negara memenuhi potensi sebenar.

Situasi itu bermakna terdapat naik taraf tanggungjawab buat Cheh Chang yang juga merupakan jurulatih skuad negara sebelum ini apabila akan memikul tugas ketua jurulatih menggantikan Chin Ee Hui.

Di bawah kendalian Ee Hui, pasangan seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menyinar sehingga berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi buntu untuk bersaing dengan wakil elit dunia sehingga sering terkubur di bawah tekanan tinggi.

"Saya memberi beliau sepenuh kepercayaan dan kuasa untuk membawa perubahan kerana anggapan saya ialah peluang terbaik untuk pasangan beregu kita berada dalam kelompok lima terbaik dunia adalah menerusi beregu campuran.

"Mereka perlu mengadakan sistem yang lebih mantap dan perancangan yang jitu.

"Saya tidak mahu pemain seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai mengikut jejak langkah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing," ujar Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM yang dipengerusikan oleh Norza hari ini sambil menegaskan Cheh Chang diberi kuasa penuh untuk membentuk semula program.

Ia termasuk merombak skuad yang ditunjangi pemain senior seperti Chan Peng Soon-Goh Liu Ying jika diperlukan.

Bagaimanapun, Ee Hui disahkan kekal menjadi pembantu Cheh Chang.

"Mereka ini, termasuk Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perlu mencabar kedudukan lima terbaik dunia. Itulah tugasan yang dipikul mereka.

"Sementara itu, dia perlu mengenal pasti pemain berpotensi yang lain. Saya harap dia boleh berusaha lagi untuk meraih lebih banyak keputusan memberangsangkan," tambahnya.