Pendedahan Cheam Jun Wei sebagai pemain badminton pertama yang positif COVID-19 dalam kem berpusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, bulan lalu sepatutnya menjadi iktibar kepada skuad perseorangan lelaki.

Ketua jurulatih skuad itu, Hendrawan, mendedahkan fizikal June Wei mengalami kemerosotan yang sangat ketara susulan jangkitan pandemik itu.





Pakar dari Indonesia itu berasakan ia akan jadi pengalaman yang mematangkan pemain berkenaan menjelang kempen penting seperti Piala Thomas yang dijadual berlangsung selepas Sukan Olimpik, Ogos depan.

"Kekuatan, kecergasanmya terjejas dan dia kehilangan ototnya.

"(Kejadian ini) akan mematangkannya.

"Dalam keadaan seperti ini, dia akan belajar untuk mengendalikan situasi dengan lebih matang menerusi apa yang ada," katanya mengenai anak buahnya itu.

June Wei mara sejauh suku akhir dalam Kejohanan Master Sepanyol minggu lalu apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain di ranking ke-19 dunia dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.