Kehadiran cahaya mata sulung memberi inspirasi buat perseorangan profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, untuk mengembalikan prestasi sebenar yang pernah menyaksikannya bergelar pemain kedua terbaik negara di belakang Datuk Lee Chong Wei.

Iskandar dan isteri, Syaidatulaini Ismail, menyambut kelahiran puteri sulung mereka, Izz Noura, pada 14 Januari lalu.

Kehadiran Izz Noura bukan sahaja menjadi pelengkap kepada keluarga kecil mereka, bahkan sebagai pembakar semangat buat Iskandar.

Sempena musim 2020 ini juga, pemain kelahiran Johor itu mengambil keputusan untuk berlatih di bawah kendalian Rashid Sidek di Akademi Sports Affairs.

Berbeza dengan kem latihan di Petaling BC sebelum ini, Sports Affairs merupakan pangkalan kepada bekas pelatih kebangsaan seperti Liew Daren dan Soong Joo Ven, sekali gus menawarkan kualiti lebih baik dalam latihan.

"Anak saya sihat, banyak tanggungjawab yang perlu saya (galas) selepas ni.

"Saya perlu lebih kuat, matang dan bijak membahagikan masa di antara karier dan keluarga.

"Saya akan berubah angin lagi memandangkan ia masih tidak cukup untuk saya pada tahun lalu.

"Jurulatih sudah bagus tetapi rakan sepelatih masih lagi kecil (mentah).

"Saya harap usaha tahun ini dapat melonjakkan lagi ranking," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin