Pasangan beregu negara, Mohamad Arif Abdul Latif dan Nur Mohd Azriyn Ayub, mengakui mereka dipisahkan dengan pengalaman apabila tewas dalam aksi suku akhir 21-13, 17-21, 11-21 kepada beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Kedua-dua wakil negara ini memulakan rentak dengan cukup baik apabila mudah mengatasi pasangan juara dunia dua kali dari Indonesia itu menerusi kemenangan 13-21 dalam set pertama sebelum set kedua didominasi musuh berpengalaman itu 21-17.

Aksi penentuan tidak menampakkan banyak tentangan daripada wakil negara yang menyaksikan pasangan Indonesia itu mudah menempah slot ke separuh akhir dengan catatan kemenangan 21-11.

Sementara itu, wakil beregu wanita negara, Lim Chiew Sien dan Tan Sueh Jeou mudah menundukkan pasangan beregu dari Jepun, Hobara Sayaka dan Sone Natsuki, 21-18, 21-15 untuk ke separuh akhir.

Tiada halangan besar buat juara bertahan dan juga pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei memastikan slot separuh akhir apabila menundukkan rakan senegara, Chong Hon Jian dan Man Wei Chong 21-16, 23-21.

Perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, mudah menundukkan lawan dari Thailand, Korepap Chaseeni, 21-17, 21-10.