“Ternyata, setiap kali perubahan dicadangkan, terutama berkaitan satu aspek yang begitu penting dalam sesuatu sukan, pasti akan terdapat pelbagai pandangan. Kami akan mengambil kira semua ini,” kata Setiausaha Agung, Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Thomas Lund,
dalam satu kenyataan hari ini.


Merujuk kepada komen beberapa personaliti berprofil tinggi dalam dunia badminton, Lund berkata sebelum sebarang keputusan diambil, rundingan terperinci akan diadakan dengan jurulatih terkemuka dari beberapa negara gergasi dalam sukan badminton.

“Semasa perundingan diadakan, para jurulatih terlibat bersetuju untuk membuat ujian terhadap opsyen servis pada ketinggian tetap di negara tertentu.

“Kesepakatan dicapai agar langkah itu merupakan perkara seterusnya yang perlu dilaksanakan dan itulah yang kami lakukan. Selepas itu, kami bersetuju untuk membuat ujian tentang Undang-undang Servis Percubaan (Ketinggian Tetap) dalam acara BWF dan itulah yang sedang kami lakukan,” katanya.

Berikutan cadangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu agar percubaan tentang servis pada ketinggian tetap dilakukan – yang mendapat persetujuan negara anggota BWF – maka BWF mula menjalankan ujian percubaan mulai 1 Mac lalu.

Lund berkata Undang-undang Servis Percubaan (Ketinggian Tetap) memperuntukkan bahawa keseluruhan bulu tangkis perlu berada pada ketinggian di bawah 1.15 meter dari permukaan gelanggang ketika dipukul dengan raket oleh pembuat servis.

Katanya, BWF akan menentukan sama ada 1.15 meter adalah ketinggian yang tepat atau ia sepatutnya lebih tinggi sedikit daripada itu, bergantung kepada maklum balas yang diterima daripada tempoh percubaan itu kelak.

Kesemua acara gred satu, kecuali Kejohanan Remaja Dunia BWF, akan menjalani ujian berkenaan, manakala acara gred dua (Jelajah Dunia BWF dan acara Jelajah Super 100 BWF) dan kejohanan peringkat benua akan bermula April ini. Buat masa sekarang, ujian itu dijangka berlangsung hingga penghujung tahun ini.

-- BERNAMA