Keinginan untuk terus beraksi di pentas kompetitif kekal membara buat ikon beregu lelaki negara, Tan Boon Heong, meskipun telah lahirnya pengganti kepada legasinya dan Koo Kien Keat seperti finalis Kejohanan Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Boon Heong, yang masih aktif di pentas kompetitif dengan bergandingan dengan bekas pemain nombor dua dunia dari Korea Selatan, Kim Sa-rang, menjelaskan dia masih mempunyai misi peribadi tersendiri.

"Saya masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, negara, pihak penaja dan penyokong saya.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan memandangkan ramai pemain lain sedang merebut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Walaupun saya tidak dapat menyertai Sukan Olimpik kerana bergandingan dengan pemain dari negara lain, saya berharap dapat menyekat wakil daripada negara luar untuk memungut mata kelayakan bagi memudahkan pemain negara," katanya

Hakikatnya, Boon Heong-Kien Keat kekal sebagai antara gandingan terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia menerusi pingat emas Sukan Asia Doha 2006 dan kejuaraan Seluruh England pada 2007.

Bagaimanapun, waktu kemuncaknya dengan Kien Keat berakhir lebih awal daripada apa yang pernah diramalkan peminat tanah air.

Disebabkan itu, Boon Heong berasakan kemahuan untuk terus mencabar diri perlu ada dalam dari Aaron dan Wooi Yik.

"Mereka mempunyai potensi, namun saya tidak berani katakan sama ada mereka mampu pergi jauh atau tidak.

"Ia terpulang kepada mereka tentang apa yang mereka mahukan kerana bukan senang untuk bergelar juara.

"Saya berharap mereka tidak akan terlalu cepat berpuas hati," katanya.