Pengembaraan skuad wanita dalam Kejohanan Berpasukan Badminton Asia berakhir susulan kekalahan 3-0 di tangan Jepun ketika perebutan slot untuk melangkah ke final.

Pertembungan separuh akhir itu merupakan aksi ulangan pertembungan peringkat kumpulan Khamis lalu yang menyaksikan Malaysia tewas 3-2.

Perseorangan utama, Soniia Cheah turun ke gelanggang mengharapkan kemenangan ke atas Akane Yamaguchi sepertimana yang direkodkan tempoh hari.

Bagaimanapun, harapan mata pertama Malaysia yang sepatutnya boleh dijelmakan Soniia tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 18-21 kepada pemain di ranking ketiga dunia itu.

"Ia merupakan perlawanan yang sengit. Pada penghujung aksi, saya ada lakukan beberapa kesilapan mudah sekaligus menghadiahkan pihak lawan mata.

"Sangat merugikan tetapi ini merupakan perlawanan yang sangat baik. Satu pengalaman yang baik buat saya dan saya gembira dapat membantu pasukan sehingga mara ke pusingan separuh akhir. Cumanya hari ini nasib tidak menyebelahi saya," kata Soniia.

Turun ketika Malaysia ketinggalan 2-0 selepas kekalahan beregu utama, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen adalah perseorangan kedua, S. Kisona.

Memikul tugas berat dalam memastikan Malaysia kekal dalam saingan, Kisona terdesak mencari mata pertama negara.

Peranan berbeza menjadi perseorangan kedua dalam separuh akhir yang menawarkan realiti sukar untuk ditangani Kisona apabila tunduk 13-21, 13-21 kepada Sayaka Takahashi, sekaligus menyaksikan Malaysia tewas 3-0.

"Dalam perlawanan itu, dia (Sayaki Takahashi) cuba meningkatkan intensiti permainan dan ketika itu saya gagal untuk mengawal percaturannya.

"Saya sudah cuba lakukan yang terbaik namun sejak ketinggalan pada mata yang ke-11, saya gagal untuk bangkit. Saya juga kekurangan strategi untuk menghalang dia," kata Kisona.