Bekas pemain berstatus nombor satu dunia, Chew Choon Eng, sah menjadi jurulatih kepada dua pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Choon Eng, yang membentuk gandingan mantap bersama Chan Chong Ming sehingga menjadi beregu terbaik dunia pada 2002, sudah disunting empat pemain profesional itu.

Jalinan kerjasama ketika saingan Masters Malaysia baru-baru ini cukup untuk meyakinkan kepakaran Choon Eng diperlukan untuk mereka mengharungi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan perancangan semasa, dia dijadualkan mengiringi dua gandingan profesional negara itu, bermula dengan Seluruh England, 6 Mac depan.

"Choon Eng adalah pilihan terbaik untuk melatih kami yang sudah bergelar pemain profesional," kata Peng Soon.

"Sampai ke hari ini, kami saling membantu dalam persiapan menghadapi kejohanan. Kehadiran Choon Eng akan membantu kami lebih memberikan tumpuan," kata Wee Kiong.

Peng Soon, dalam pada itu, menyifatkan saingan kekal terbuka buat beregu campuran dalam Seluruh England.

Beregu lelaki pula kekal menjadi pilihan buat gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Gideon-Kevin Sanjya Sukamuljo.

"Bagi saya, beregu Indonesia adalah pilihan dalam Seluruh England. Tetapi saya berasakan sesiapa saja boleh muncul pemenang kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri," kata Wee Kiong.