Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, berbelah-bahagi untuk mengharapkan bantuan daripada pemain profesional dalam kempen Piala Sudirman bulan depan.

Tidak seperti rakan sejawatannya, Datuk Misbun Sidek, di kem perseorangan lelaki yang sedia menyenaraikan pemain profesional, Liew Darren, untuk membarisi skuad Piala Sudirman, Cheh Chang sebaliknya enggan bergantung kepada bantuan luar.

Dia seboleh-bolehnya mahu mempertaruhkan dua lagi gandingan di bawah kendaliannya, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai serta naib juara Terbuka Singapura, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Bagaimanapun, berdasarkan keadaan semasa, Cheh Chang tidak boleh menafikan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih merupakan sandaran utama negara berikutan menghuni ranking kelima dunia.

"Kian Meng-Pei Jing bermain bagus dan ada kualiti ketika bertemu wakil dari Jepun manakala Peng Soon-Liu Ying turut mempunyai kelebihan tersendiri, begitu juga dengan Soon Huat-Shevon.

"Yang penting, kami perlu tahu strategi yang mahu diterapkan dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya.

"Kami akan buat kajian mengenainya," katanya.

Setakat ini, masih belum ada kata putus mengenai barisan pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di Nanning, China.

Dalam masa yang sama, Cheh Chang juga menganggap waktu sebegini amat penting buat barisan pemainnya untuk menjaga kesihatan dan kecergasan masing-masing bagi mengelak daripada ditimpa kecederaan kerana kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan bermula 1 Mei ini.

"Sudah tentu semakin tinggi tahap kejohanan itu, lebih tinggi kelesuan yang dialami pemain.

"Ia satu proses pembelajaran buat pemain kerana mereka pasti akan berdepan situasi yang sama dalam kejohanan berikutnya.

"Mereka perlu belajar bagaimana untuk menitikberatkan soal kecergasan," katanya lagi.