Bekas pemain badminton negara, Ong Ewe Hock, menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggunakan apa jua cara sekalipun untuk terus mengekalkan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, dalam kem Malaysia biarpun tidak lagi mengerah keringat di gelanggang.

Spekulasi Chong Wei akan menamatkan kariernya bertiup kencang, namun masih tiada pengesahan secara rasmi.

Bagaimanapun, Ewe Hock berpandangan BAM harus mewujudkan satu jawatan khas untuk Chong Wei dalam badan induk itu selepas dua dekad beraksi kerana ia bukan sahaja boleh membantu bakat muda, malah mengelak khidmatnya daripada dipancing negara lain.

Setakat ini, beberapa bekas pemain negara sudah pun berhijrah menjadi jurulatih di luar negara, antaranya Jeremy Gan dan Tan Kim Her yang cemerlang bersama skuad Jepun.

"Seboleh-bolehnya BAM mengekalkannya walaupun bukan sebagai penasihat atau barisan kejurulatihan.

"Kita harus mengangkatnya sebagai contoh kepada pemain Malaysia, itu yang harus kita buat," katanya.

Dalam masa sama, Ewe Hock juga menggesa satu rombakan besar-besaran harus dilaksanakan dalam perancangan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia.

"Tiada bekas pemain yang memegang jawatan tertinggi dalam Jawatankuasa C&T dan setahu saya, mereka tiada suara pun dalam mesyuarat.

"Sebab itulah saya menganggap C&T amat penting dalam menentukan hala tuju BAM," katanya.