Barisan kejurulatihan skuad negara tidak boleh menyorokkan sebarang masalah yang membelenggu pemain daripada pengarah kejurulatihan dan pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan pemain muda mampu memenuhi potensi untuk menjadi penerus legasi Datuk Lee Chong Wei.

Demikian pandangan bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selavaraj, yang akur Malaysia sedang menghitung hari sebelum Chong Wei mengumumkan persaraan.

Meskipun teruja dengan pendekatan BAM mengetengahkan bakat muda, beliau berasakan perancangan untuk memenuhi potensi pemain-pemain itu masih tidak jelas.

Antara kebimbangannya ialah keadaan pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, yang sering diganggu kecederaan.

"Kita tidak dapat lihat sesuatu sedang meningkat buat masa ini

"Kita tidak dapat lihat keputusan yang boleh dibanggakan daripada Jin Wei.

"Apa yang menggusarkan saya adalah dia akan tidak berdaya tidak lama lagi.

"Dia mengalami kecederaan dan yang terbaru mengalami masalah di perut sejak enam bulan lalu.

"Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku, namun seseorang perlu tampil menyelesaikan perkara ini dan pengarah kejurulatihan merupakan individu yang perlu bekerjasama dengan jurulatih untuk mengkaji apa yang terjadi kepada pemain," katanya.

James pada masa sama menegaskan jurulatih dalam kem senior kebangsaan perlu memikul tanggungjawab andai gagal mencapai petunjuk prestasi (KPI) yang sudah dipersetujui bagi mewujudkan persekitaran kerja lebih efektif.

"Mereka perlu memberitahu kepada jurulatih yang terlibat, termasuk pengarah kejurulatihan, bahawa ia adalah sasaran mereka dan sekiranya mereka gagal mencapainya, mereka perlu pergi.

"Ia tentang pelantikan dan pemecatan supaya pemain muda dapat mempamerkan prestasi.

"Kita tidak mempunyai pemain yang mempunyai kaliber seperti Datuk Lee Chong Wei.

"Itulah masalah terbesar yang dihadapi," tambahnya.