Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pengstrukturan semula barisan kejurulatihan dengan melantik dua pengarah kejurulatihan untuk menjaga dua jabatan iaitu perseorangan dan beregu.

Keputusan itu menyaksikan kuasa Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Han, sebelum ini dikurangkan dengan hanya menjadi jabatan perseorangan manakala BAM menaikkan pangkat Rexy Mainaky selaku Pengarah Kejurulatihan bahagian beregu.

"Kami membuat penilaian kendiri mengenai apakah kekuatan dan kelemahan kami serta apakah peluang dan laluan daripada sudut dunia badminton yang ada.

"Dari situ, kami putuskan untuk mengatasi semua kelemahan ini dan melangkah ke hadapan. Kami membahagikan struktur ini. Sekiranya dulu banyak peringkat, daripada ketua jurulatih dan perlu lapor kepada pengarah kejurulatihan.


"Kami kecilkan di mana hanya ada dua bahagian saja iaitu perseorangan dan beregu. Bahagian beregu diketuai Rexy manakala perseorangan adalah Choong Hann.

"Jadi kedua-dua (individu) ini akan melihat keseluruhan struktur dan mereka akan merancang dan memutuskan siapa akan melatih siapa dan membuat rumusan mengenai jurulatih dan pemain.

"Mereka sepatutnya membuat rumusan di penghujung tahun tetapi dengan kemasukan Rexy, maka kita bersetuju untuk memberikan sedikit masa kepadanya. Kita akan memberikan satu bulan lagi untuknya dan selepas itu akan membuat rumusan mengenai jurulatih dan pemain secara bersama," kata Kenny dalam sidang media itu.

Kenny mengumumkan perkara itu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM hari ini.

Keputusan itu dilihatkan untuk mengurangkan birokrasi dan bagi memastikan tindakan yang cepat dapat diambil dalam isu yang membabitkan pasukan kebangsaan.

Kedua-dua pengarah kejurulatihan itu juga akan membuat penilaian mengenai prestasi jurulatih dan pemain.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Wong choon Han, tidak terganggu dengan pengurangan kuasa bagi jawatan pengarah teknikal yang dipegang sejak 2018.

Dia sebaliknya terbuka dengan perubahan yang diambil selepas mesyuarat kejurulatihan dan latihan jika ia demi prestasi badminton negara selepas ini.

Beregu negara sepenuhnya atas tanggungjawab Rexy Mainaky namun untuk penilaian prestasi Rexy memerlukan masa dalam tempoh sebulan sebelum perubahan keseluruhan melibatkan jurulatih dan pemain diumum Januari 2022