Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan tetap menghantar pasukan ke India bagi menghadapi tiga kejohanan bermula 11 Januari ini, meskipun situasi COVID-19 kembali meruncing di negara itu.

Minggu lalu, Kerajaan India mengumumkan peraturan ketat mula dikuatkuasakan di bandar-bandar utama dengan terbaru, perintah berkurung pada waktu malam di ibu negaranya, New Delhi, lokasi berlangsungnya Terbuka India.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Wong Choong Hann, tetap timbul kerisauan di kem negara yang akan berlepas ke India Jumaat ini.

Namun Choong Hann percaya dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan tuan rumah dan juga pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dapat menjamin keselamatan pemain.

"Setakat ini, BAM masih lagi akan menghantar pasukan malah pemain sedia untuk beraksi di India," kata Choong Hann.

"Perasaan resah dan gementar itu tetap ada namun kami sudah mencapai satu tahap perlu meneruskan kehidupan dengan COVID-19."

Sementara itu, Choong Hann turut menggesa wakil tunggal perseorangan negara, Ng Tze Yong, memanfaatkan peluang beraksi kejohanan itu dalam usaha memperbaiki kelemahan sedia ada.

"Kami berharap dia mampu melangkah ke suku akhir dan mengambil kesempatan untuk mencari rentak bagi meningkatkan tahap permainan ke tahap lebih tinggi."

Bagi pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie, tekad membuktikan kepada majikannya, BAM dan peminat tanah air bahawa dia mampu menyinar tahun ini.

Mengakui terdesak mencapai prestasi terbaik, pemain kelahiran Ipoh itu bersama pasangannya Peck Yen Wei, menyasarkan untuk mara ke separuh akhir dalam tiga kejohanan utama di India bulan ini bermula dengan Terbuka India, Kejohanan Antarabangsa Syed Modi serta Terbuka Odisha.