Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa badan induk itu telah menerima surat peletakan jawatan daripada perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, sejak 11 Januari lalu.

Presidennya, Tan Sri Dr. Norza Zakaria, turut menyatakan kekecewaannya dengan senario semasa, di mana seorang demi seorang pemain bintang memilih untuk meninggalkan persatuan berkenaan.

Dalam masa sama, Norza menjelaskan bahawa segala persoalan akan dirungkaikan dalam satu sidang media khas yang akan diadakan pada Jumaat ini.

Tambahnya, sepanjang lapan hari ini, BAM telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pemain nombor tujuh dunia itu kekal berada di bawah naungan mereka -- termasuk dengan memanggil kesemua pegawai utama mereka dari seluruh negara dalam satu mesyuarat majlis pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, usaha itu kelihatan tidak memihak BAM dan satu sidang media khas akan diadakan bagi menjelaskan mengenai situasi itu.

Norza, ketika ditemui wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, berkata: "Yang pertama, saya mahu mengesahkan bahawa kami telah menerima surat peletakan jawatan daripada Lee Zii Jia pada 11 Januari lalu.

"Beliau memikirkan bahawa keutamaannya mungkin berbeza, jadi kami tahu sebagai sebuah institusi yang tidak statik, kami mendengar, kami tahu bahawa ini adalah harga yang perlu kami bayar kerana saya telah mencipta satu enjin bebas yang sihat seperti yang saya katakan sebelum ini.

"Apapun, kami mempunyai undang-undang dan prosedur kami.

"Sudah tentu kami rasa kecewa tetapi ia mungkin kekecewaan saya secara peribadi sebagai presiden, namun pada akhirnya, pihak majlis sebagai satu institusi akan membuat keputusan dan keputusan itu akan disampaikan pada hari Jumaat ini," katanya.

Ditanya mengenai alasan Zii Jia mengambil keputusan itu, Norza menambah: "Sebenarnya, kami cuba memahami dan tanpa prejudis telah 'counter' dengan apa perkara yang boleh kami lakukan untuk mengekalkannya bersama kami.

"Kami telah memikirkan langkah-langkah itu, kerana itu kami tidak statik.

"Kerana kami tahu bahawa dia merupakan pemain nombor satu kami dan tentu sahaja kami akan melakukan sesuatu untuk dia menarik balik peletakan jawatan tersebut.

"Namun, kami rasa bahawa mungkin dia telah kekal dengan keputusan tersebut," katanya lagi.

Persoalan ketika ini adalah sama ada BAM akan menerima peletakan jawatan itu atau mengumumkan satu tindakan drastik selepas membelanjakan jutaan ringgit dalam membentuk juara Kejohanan Seluruh England itu.