Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu sebaran media sebentar tadi mengesahkan bahawa enam pemain negara diuji positif COVID-19.

Kesemua pemain itu, yang tidak menunjukkan sebarang gejala, kini sedang menjalani pengasingan kendiri seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berdasarkan protokol kuarantin yang ditetapkan.

Berdasarkan saranan KKM, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), keseluruhan 19 atlet, jurulatih dan pegawai di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara telah segera menjalani ujian saringan dan kesemuanya disahkan negatif.

ABM juga telah menjalani proses sanitasi secara menyeluruh dan terperinci semalam.

"Latihan secara kuarantin akan kembali diperkenalkan di Pusat Kecemerlangan Badminton Nasional sementara aktiviti sekolah akan dijalankan secara dalam talian dalam beberapa hari ke depan.

"Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua orang di ABM tetap menjadi keutamaan kami.

Semua di BAM mendoakan enam atlet berkenaan cepat sembuh," kata BAM dalam kenyataan itu.