"Al-Amin dan Norza tidak perlu takut untuk bertanding", demikian pandangan bekas presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar, mengenai perebutan jawatan tertinggi badan induk badmintin negara kerana beliau sendiri pernah mencabar dan dicabar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada era 80-an.

Elyas pernah mencabar Allahyarham Tan Sri Mohamed Khir Johari untuk jawatan presiden BAM pada 1985 sebelum berjaya mempertahankan kerusi itu, dua tahun kemudian selepas dicabar lawan sama.

Jadi, tiada sebab untuk Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid selaku pemangku presiden dan timbalan presiden, Datuk Seri Norza Zakaria, untuk terlalu menghormati tradisi sedangkan beliau pernah melalui cabaran itu.

"Selepas saya, mungkin tiada pertandingan, cuma pelantikan sahaja itu pun kerana tiada calon lain.

"Tetapi kali ini ada dua calon, jadi penting untuk BAM mengadakan urusan pemilihan," ujarnya.

Elyas memegang jawatan presiden BAM selama lapan tahun dari 1985 hingga 1993.

Mesyuarat ahli majlis BAM di Kuching, Sarawak, Sabtu lalu memutuskan Al-Amin dan Norza perlu menyelesaikan sendiri isu pemilihan jawatan presiden.

Isu itu timbul selepas penyandang, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, mendedahkan mengenai wujudnya perjanjian 'gentleman' membabitkan pemimpin tertinggi BAM yang sepatutnya mengangkat Norza sebagai presiden BAM berikutnya.

Bagaimanapun, Al-Amin mendakwa tidak terbabit dengan perjanjian itu dan berminat meneruskan tanggungjawab sebagai presiden.

AGM BAM akan diadakan pada 29 April ini.