Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia untuk kembali memulakan latihan bermula 1 Jun depan dengan mengambil langkah awal.

Perancangan yang dimaksudkan ialah menghantar cadangan kepada pihak berwajib dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi mereka.

Sabtu lalu, perbandingan kontak di antara pemain badminton dan bolasepak yang mempunyai 22 orang beraksi di atas padang dinyatakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, BAM pun sudah mengambil langkah proaktif berhubung perkara berkenaan menerusi cadangan dan perancangan yang telah dikemukakan kepada pihak yang berwajib.

"Seperti cadangan daripada BAM melalui KBS, kami memohon agar satu SOP untuk memulakan latihan. Saya fikir pada awal Jun nanti. Ia melibatkan pemain terutama di peringkat elit," ujar Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Bagaimanapun, beliau belum melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail itu sebagai lampu hijau buat mereka meneruskan latihan bermula Jun nanti, malah perlu menunggu pihak terbabit mengkaji semula cadangan tersebut selain memgeluarkan SOP baru.

"Langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu masih sedang dilakukan. Saya yakin dan percaya bahawa kerajaan akan menilai serta membentuk satu perancangan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ini," tambahnya.