Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan Rexy Mainaky sebagai timbalan pengarah kejurulatihan badan induk itu bermula 1 Disember depan.

Bekas pemenang pingat emas acara beregu lelaki Sukan Olimpik 1996 itu akan berkerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Chong Hann .

Menerusi peranan barunya itu, Rexy akan menambah input teknikal ke dalam bahagian prestasi pemain.

Dia akan mengambil tugasan spesifik di bahagian beregu skuad kebangsaan dan ditugaskan secara rasmi untuk meningkatkan dan memacu prestasi atlet di bahagian itu.

Individu berusia 53 tahun itu akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada awal Disember ini.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria, berkata: "Kami gembira apabila Rexy akan menyertai barisan kejurulatihan kami.

"Pelantikan ini merupakan satu keperluan untuk memperkuatkan perkembangan yang persatuan ini telah lakukan sejak beberapa tahun lalu dalam usaha kami yang tidak berbelah bahagi demi mengejar kejayaan.

"Rexy merupakan jurulatih yang bagus dan berpengalaman dengan rekod prestasi yang amat cemerlang.

"Dia akan diberikan KPI (indeks prestasi utama) yang khusus untuk segera menggiatkan dan memotivasikan bahagian beregu muda kami.

"Saya menantikan sumbangannya dalam mengoptimumkan prestasi pasukan bersama Choong Hann dan seluruh staf kejurulatihan, pada ketika kami terus membina masa depan yang lebih kukuh buat badminton Malaysia," katanya.

Sebagai rekod, Rexy pernah menjadi jurulatih skuad beregu kebangsaan dari 2005 hingga 2012.