Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, memohon kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan agar membantunya dalam menyelesaikan isu mengatur perlawanan yang menyaksikan dia digantung selama 20 tahun.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan hukuman gantung 20 tahun ke atas Zulfadli dan 15 tahun terhadap Tan Chun Seang berkuatkuasa 12 Januari lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Zulfadli yang dituduh menerusi perbualannya dengan Chun Seang menerusi aplikasi WhatsApp menjadi salah satu bukti utama yang menjurus kepada terbongkarnya kegiatan kedua-dua pemain profesional badminton negara itu dalam mengatur perlawanan.

"Pada mulanya saya ingin memohon maaf kepada rakyat kerana keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terhadap saya semestinya mengecewakan rakyat Malaysia, sekali gus mencemarkan nama negara," kata Zulfadli.

"Saya juga memohon maaf kerana ia memberikan impak buruk kepada setiap pemain Malaysia.

"Saya telah dituduh mengatur beberapa perlawanan yang tidak ketahui. Pertuduhan ini telah dilakukan menerusi perbualan Whatsapp dalam bahasa Melayu dan ia telah dipotong serta ditafsir ke dalam bahasa Inggeris.

"Saya merayu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melindungi saya daripada penindasan yang dilakukan oleh BWF," katanya lagi.

Kedua-dua pemain turut didenda masing-masing AS$25,000 (RM98,338) dan AS$15,000 (RM59,000).