Masa depan gandingan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, menjadi tanda tanya selepas Khe Wei disahkan kembali dibelenggu kecederaan.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih beregu wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rosman Razak.

Kecederaan itu difahamkan berkait dengan insiden membabitkan lutut kanannya dalam Kejohanan Berpasukan Asia, Februari lalu.

Lebih mengecewakan, Khe Wei ibarat sudah mengatasi kecederaan itu apabila membuat penampilan dalam Kejohanan Dunia, Julai lalu.

"Khe Wei ditimpa kecederaan semasa berlatih, dia perlu menjalani proses pemulihan.

"Buat masa ini, saya perlu menyediakan pelan kedua jika apa-apa berlaku ke atas Khe Wei.

"Kami akan menentukan perancangan selepas dia kembali pulih," kata Rosman.

Dalam Khe Wei menjalani pemulihan, Vivian meneruskan aksi di gelanggang kompetitif bersama Yap Cheng Wen.

Mereka melangkah ke final Terbuka Hyderabad baru-baru ini di samping akan beraksi dalam Terbuka China dan Korea Selatan pada hujung bulan ini.

"Ia satu permulaan yang baik buat mereka apabila beraksi dalam kejohanan kedua sejak digandingkan.

"Masih banyak lagi aspek keserasian yang perlu disentuh.

"Bagaimanapun, ini satu permulaan yang baik untuk mereka," kata Rosman.