Jurulatih beregu wanita negara, Lim Pek Siah, menghormati keputusan anak buahnya, Amelia Alicia Anscelly, yang bertindak keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selain positif ia tidak akan menjejaskan persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Baginya, sebarang keputusan dalam menentukan pasangan beregu adalah demi kebaikan pasukan dan bukan bertujuan melemahkan prestasi pemain.

Pek Siah berasakan kecederaan berterusan yang dialami oleh Amelia mungkin menjadi faktor kesukarannya untuk membentuk keserasian dengan pemain yang digandingkan.

Biarpun turut terasa dengan ketiadaan Amelia, Pek Siah tidak menganggap ia akan menjejaskan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA kerana masih mampu mempertaruhkan beregu lain seperti Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan.

"Ini keputusan pihak pengurusan, sebagai jurulatih saya tidak boleh mengulas lanjut, lagipun umurnya sudah mencecah 29 tahun.

"Kalau dia sudah bertekad untuk meninggalkan BAM, saya sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana kami sudah pun berbincang.

"Tiada sebab untuk dia kekal kerana keinginannya sudah tidak ada," katanya.

Dalam pada itu, Teoh Mei Xing yang pernah bergandingan bersama Amelia berharap pemain itu kembali semula ke BAM.

Amelia telah banyak membantu mengubah prestasi Mei Xing yang menyaksikan mereka meraih gelaran juara Sirkit Kebangsaan pertama, tahun lalu, dan turut mara ke separuh akhir Terbuka Vietnam.

"Saya sangat senang bergandingan dengannya kerana dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, baik di dalam atau di luar gelanggang .

"Saya berasa sedih kerana tidak dapat lagi bergandingan dengannya.

"Tetapi dia sudah menyatakan pendirian, jadi saya tidak boleh menaruh harapan tinggi," ujarnya.