Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghormati keputusan pemain beregu remaja wanita negara, Toh Ee Wei, untuk tidak kembali ke kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) buat masa ini.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann, berkata tidak adil jika BAM mendesak dengan menetapkan jangka masa tertentu untuk Ee Wei kembali berlatih sedangkan keadaan mental dan fizikalnya belum bersedia untuk berbuat demikian.

“Status terkini setakat hari ini, dia tidak akan kembali ke BAM untuk sementara dan ini kehendak dia sendiri yang perlukan lebih masa untuk mempersiapkan diri sebelum kembali cergas dan bersedia secara mental. Kami di BAM merestuinya.

“Tetapi saya juga berharap orang lain boleh adil kepada BAM kerana kami (BAM) di sini untuk berkhidmat kepada semua orang tetapi kami tidak boleh mengharamkan diri kami untuk mana-mana individu,” katanya.

Choong Hann berkata BAM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu mana-mana pemain, termasuk pemain kelahiran Melaka itu, namun ia terserah kepada keputusan pemain berkenaan untuk memilih masa depan karier mereka dalam sukan badminton.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini dilaporkan tidak menghadirkan diri ke kem latihan BAM 7 Mei lalu kerana belum bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian setelah berehat panjang selepas menjalani pembedahan hidung akibat sinus yang kronik.

Namun, Ee Wei hadir ke ABM, Jumaat lalu, selepas menerima e-mel daripada badan induk itu yang memintanya melaporkan diri selepas gagal berbuat demikian sebelumnya.

Berdasarkan e-mel itu, BAM tidak akan membenarkan Ee Wei menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sekiranya tidak melaporkan diri pada hari tersebut.

Untuk rekod, gandingan Ee Wei-Pearly Tan berjaya muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, Julai dan November tahun lalu.

Rentetan kejayaan itu, mereka ditawarkan tempat dalam kem senior, namun Ee Wei terpaksa menarik diri selepas menjalani pembedahan hidung kerana sinus kronik Disember lalu dan memerlukan rehat panjang.

-- BERNAMA