Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, memberi gambaran awal bahawa anak didiknya, Lee Zii Jia, tidak akan beraksi dalam kesemua kejohanan selepas ini.

Ini kerana jadual padat melibatkan lapan kejohanan bakal berlangsung dalam tempoh 77 hari memaksa barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memilih kejohanan yang sesuai untuk juara Jeluruh England itu.

"Tentu sahaja kami harus fokus semua (kejohanan). Tapi ini kali pertama sebagai jurulatih dan pemain, kami perlu memilih kejohanan yang akan disertai.

"Kami tiada pilihan dan saya harap akan kami pilih serta berbincang mana (kejohanan) yang akan disertainya," katanya di Nadi Arena.

Dalam masa sama, Hendrawan turut berkongsi kelemahan pemain itu yang harus diperbaiki khususnya bagi menghadapi deretan kejohanan dalam tempoh yang singkat.





"Musuh Zii Jia ialah dirinya sendiri kerana jurang ketika dia menang atau kalah terlalu besar," katanya lagi.

Kalender sibuk buat pemain negara bermula Piala Sudirman di Finland, hujung September depan, disusuli Piala Thomas/Piala Uber sebelum dua kejohanan lagi di Eropah.

Selepas itu, mereka akan beraksi dalam tiga kejohanan di Indonesia termasuk Final Jelajah Dunia selain Kejohanan Dunia di Sepanyol.